Terkini dari relevan Sokmo

Oh Gasak! ( Gosip Hiburan Terkini )

Carian dalam blog ini

Jumaat, 5 April 2013

#PRU13 : Artis Bukan Melayu Mahu Pemimpin 'Tidak Cakap Kosong'


PETALING JAYA: Artis-artis bukan Melayu menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membubarkan Parlimen pada Rabu lalu bagi membolehkan PRU13 dijalankan.
Malah mereka juga tidak sabar untuk sama-sama menunaikan kewajipan sebagai rakyat Malaysia untuk mengundi selain menganggap pilihan raya kali ini akan memberi tekanan yang kuat kepada semua pihak.
Alvin Anthons
Penyanyi Alvin Anthons, 37, berkata, media sosial seperti Facebook dan Twitter bakal memberikan impak kepada Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU-13) kerana ia sangat berpengaruh dan cepat dalam menyampaikan maklumat kepada pengundi.
Malah katanya, ia bakal memberi cabaran sengit kepada kedua-dua belah pihak iaitu kerajaan dan pembangkang dalam meraih undi daripada rakyat Malaysia menerusi medium itu.
"Kuasa media sosial sangat kuat pada hari ini dan perkara itu tidak dapat dinafikan. Ia pasti akan memberikan saingan kepada kedua-dua belah pihak untuk menyampaikan maklumat sekali gus memancing undi," jelasnya.
Bakal mengundi buat kali ketiga di Dewan Undangan Negeri (DUN) Siputeh bagi Parlimen Kuchai Lama, Alvin turut menyarankan pengundi yang layak terutama generasi muda supaya keluar membuang undi dan tidak hanya pandai berkata-kata menerusi laman sosial.
"Jangan jadi rakyat yang suka 'duduk atas pagar' kerana sebagai individu yang layak mengundi mereka patut menjalankan tanggungjawab mereka bagi memilih siapa pemerintah yang diinginkan," katanya.
Suki Low
Bagi penyanyi Suki Low, 23, dia bakal ditemani oleh suaminya, Jeremy Chong untuk mengundi buat kali pertama di tempat kelahirannya, Seremban, Negeri Sembilan.
Suki berkata, dia sangat teruja untuk membuang undi pada PRU-13 kerana sebagai seorang rakyat Malaysia perkara itu adalah satu tanggungjawab besar yang perlu dilunaskan demi masa depan negara.
"Saya sudah mendaftar sebagai pengundi sudah lama dan cukup teruja untuk membuang undi pada pilihan raya nanti. Memandangkan ini adalah kali pertama saya keluar mengundi saya akan ditemani suami pada hari berkenaan," katanya.
Dalam pada itu, Suki berkata, sebagai pengundi baru, dia akan memastikan calon yang bakal dipilih dapat membantu meningkatkan kemajuan negara dan bukannya hanya memberikan janji-janji kosong.
"Adalah sangat penting penelitian terhadap calon itu dibuat sebelum sebarang keputusan dibuat kerana ia mungkin akan mengubah banyak perkara pada masa hadapan," ujarnya.
Thanuja
Bekas Miss World Malaysia 2009/2010, Thanuja Ananthan, 28, pula berkata kerajaan baharu yang bakal dibentuk selepas PRU-13 nanti harus mampu mengekalkan kestabilan ekonomi dan keharmonian di Malaysia yang mempunyai pelbagai bangsa dan agama.
Malah kata bekas peserta Masterchef Selebriti Malaysia musim pertama ini, pengundi juga perlu mempunyai semangat patriotik yang tinggi dan berfikiran rasional sebelum membuat sebarang keputusan pada hari penting tersebut.
"Keamanan dan keharmonian negara adalah yang paling utama sekali kerana itu adalah antara perkara paling istimewa tentang Malaysia," katanya.
Thanuja memberitahu dia bakal mengundi di Parlimen Puchong buat kali kedua dengan rasa penuh semangat.
Hans Isaac
Sementara itu, pengarah dan penerbit, Hans Isaac, 42, pula menegaskan Malaysia adalah sebuah negara yang cukup selesa dan mempunyai pelbagai peluang untuk terus membangun lebih pesat.
Jelasnya, penduduk di negara ini cukup bertuah dengan keadaan politik semasa berbanding dengan negara-negara lain yang masih berada di takuk lama.
"Berdasarkan keadaan semasa di Malaysia pengundi harus berfikir semasak-masaknya sebelum membuat sebarang keputusan kerana ia bukan perkara semudah yang disangka," katanya bakal mengundi buat kali kedua di Parlimen Ampang.
Dalam perkembangan sama, penyanyi Stacy, 23, yang bakal mengundi kali pertama di DUN Penampang bagi Parlimen Kota Kinabalu berkata, dia tetap akan memilih Barisan Nasional (BN) pada PRU-13 selepas membesar melihat pembangunan pesat yang terdapat di kawasannya.
Jelas Stacy, ini adalah masanya untuk dia membalas jasa kerajaan yang telah banyak menabur bukti demi kepentingan masyarakat.
"Selamanya saya akan menyokong BN kerana saya merasai perubahan yang mereka lakukan di kawasan saya dan cukup teruja untuk mengundi buat kali pertama," katanya.
Stacy turut menasihati semua pengundi muda sepertinya supaya meneliti sebaik-baiknya mengenai pilihan yang bakal dibuat.
"Jangan hanya pandai bercakap tetapi tidak mendaftar sebagai pengundi kerana ia tidak akan mengubah apa-apa," jelasnya.
* Sumber penuh mStar Online

0 Merujuk kepada perkara diatas :

Catat Ulasan

Info,Berita,Hiburan yang Hangat dari Dalam dan Luar Negeri

Terima kaSih..kerana melayari relevan Sokmo

Catatan Popular

Ikut rapat rapat

Google+ Followers

MENARIK PERHATIAN

Segala penulisan dan gambar gambar di dalam blog ini bukan lah hak sepenuh penulis..barang siapa yang mendapat kesusahan yang teruk seperti terjejas akal minda dan fikiran selepas melayari blog ini bukan lah tangunggan penulis..di atas apa jua komen yang menyentuh sensitiviti seperti memporak peranda kan kesejahteraan..penulis juga tidak akan bertanggung jawab..

Sekian Terima kaSih
original design by : relevan
modified by : relevan

  © Blogger templates The relevan Scripts Template by relevan Scripts 2010

Back to TOP